Ini Kisah Saya: Seorang Hamba. Seorang Pelajar.



"Wahai Tuhan, ku tidak layak ke syurga-Mu,
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu,
Ampunkan dosaku, terimalah taubatku,
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar."

Kehidupan manusia itu merupakan satu perjalanan yang tiada sinar kepastian. Satu perjalanan yang hanya Allah SWT mengetahui rentetannya, cabarannya, kegembiraan dalamnya dan kedukaan dalamnya. Sebab tu wujud kata pepatah Melayu yang berbunyi, "Manusia hanya mampu merancang, dan Allah yang menentukan."

Walau sehebat manapun perancangan hidup seorang hamba, catat sana, catat sini, plan itu, plan ini, yang meluluskan plan itu tetap big boss kita - Allah SWT. Saya beri contoh mudah kepada pembaca semua. Saya seorang pelajar, seorang hamba yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan ilmu dan menguasai ilmu itu. Apa jenis ilmu, itu bukanlah persoalannya. Firman Allah SWT,

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan"."

-Surah Al-Kahfi, Ayat 109-

Dalam erti kata lain, ilmu Allah itu terlalu banyak dan terlalu luas. Sangat banyak untuk digarap, sehingga kita ketandusan idea, "Ini pun dikira sebagai ilmu ke?" Ilmu itu kawan-kawan, selagi mana kita boleh dapat sesuatu yang berguna daripadanya, teruskan mencari. Teruskan usaha untuk menguasai ilmu itu. Kenapa? Ada apakah dengan ilmu? Apakah gunanya ilmu itu? 

Seorang pensyarah saya pernah bertanya, "Let's be frank today. Why are you guys here? Studying for knowledge or simply for an academic scroll?".

*Senyap-sunyi.* 

Dan demi Allah, tak ada satu keraguan pun yang terdetik dalam hati saya untuk terus berkata "For the sake of knowledge Madam." Malangnya satu jawapan yang penuh keikhlasan itu ditenggelami oleh laungan suara yang lebih realistik, "For the sake of the scroll Madam. DEFINITELY."

"Bullshit if you are saying you are here for the knowledge."

Tergelak saya dengar kata-kata pensyarah saya sendiri. Kedengaran kasar, tapi itulah hakikatnya. Saya tak salahkan beliau, jauh lagi untuk memandang rendah padanya atas kata-kata itu. Saya melalui fasa kehidupan yang sangat berbeza daripada apa saya impikan selama ni. Satu fasa yang dahulunya saya didedahkan dengan kumpulan pelajar yang sangat mengejar ilmu. Satu fasa yang mana pelajar-pelajarnya berlumba-lumba untuk memahami dan menguasai ilmu. Satu fasa yang membuatkan saya berasa saya PERLU jadi seperti mereka yang lain, sangat ghairah dalam perjuangan hidup seorang yang bernama pelajar. 

Tapi hidup, tak semestinya jadi macam apa yang kita impikan. Kadangkala perancangan itu dah tiptop, tapi Allah cakap "Tak boleh macam tu", maka lainlah bendanya yang terjadi. Inilah fasa baru kehidupan saya. Fasa yang mana saya didedahkan dengan kumpulan pelajar yang berbeza cara pendekatannya dengan ilmu. Memang bukan semua yang berfikiran sebegini, tetapi majoriti. Memang bukan semua berlatarbelakangkan cara kehidupan yang sama, tetapi majoriti. Apakah yang dimaksudkan dengan majoriti itu? Inilah sekumpulan pelajar yang baru saya temui, yang saya kenal, yang membuka minda dan pemikiran saya supaya berpijak pada bumi yang nyata, "Tak semua orang sama dengan kita.".

Maksudnya, daripada orang yang gila-gila study, saya ditemukan dengan orang yang main-main je study. Daripada orang yang bersungguh bagai nak rak hafal buku, saya ditemukan dengan orang yang nak tak nak sentuh buku. Daripada orang yang buat saya rasa, "I gotta be like them!", saya ditemukan dengan orang yang buat saya rasa "Let me show 'em how to do this.". 

Maha Suci Allah, kadangkala benda yang kita suka itu tak semestinya elok untuk kita, dan juga sebaliknya. Sesungguhnya qada dan qadar Allah yang tertulis untuk kita adalah yang terbaik, walaupun kadangkala kita lambat mentafsir dan lambat memahami "Apa yang baiknya jadi macam ni kat aku?". Firman Allah SWT,


"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

-Surah Al-Baqarah, ayat 216-

Macam kes saya ni, saya anggap ia satu peluang untuk perbetulkan niat kawan-kawan saya yang lain, dan juga untuk mengukuhkan niat asal di hati saya. Ingatlah kata pepatah Arab yang berbunyi, "Innamal 'amal binniat.". Setiap amal itu dimulakan dengan niat. Betul niat, insya Allah betullah juga perjalanan kita dalam perjuangan untuk menyempurnakan segala benda yang kita hendak lakukan. 

Balik kepada proses pembelajaran ni, ikhlaskan niat. Belajar untuk menguasai ilmu. Belajar untuk memahami ilmu dan mampu menggunakan ilmu itu nanti. Belajar untuk kegunaan masa hadapan, bagi menegakkan syiar Islam di mata dunia. Belajar untuk membuktikan umat Islam itu umat yang kuat, umat yang hebat dan yakinlah, kehebatan umat Islam itu sentiasa ada kerana kita ada Allah SWT. Dia ialah sumber kekuatan yang paling hebat, yang tak ada pada umat-umat lain selain umat Islam. Jadi kenapa kita tak boleh buat yang terbaik? Apakah penghalangnya?

Yakinlah kawan-kawan, selama mana niat perjuangan kita betul, pertolongan Allah itu selalu dekat dengan kita. Yakinlah dengan pertolongan Allah itu, sebagaimana firman Allah SWT yang berbunyi, 

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamau mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

-Surah Al-Baqarah, ayat 186-

Itu bab niat. Cakap pasal bab ketentuan tadi, ahha, ini yang saya nak cakap. Hidup seorang hamba itu takkan dapat lari jauh daripada tuannya. Tuan asal, yakni Allah SWT. Apa-apa jua perkara yang kita lakukan, balik kepada Allah. 

Usaha. Doa. Tawakkal.

Tiga benda penting. Orang cakap, usaha saja tak ada doa, tak bertawakkal, itu namanya bongkak. Sombong. Kalau tawakkal saja, exam dah dekat, buku duk ceruk mana pun tak tau, ha, yang tu kita panggil kosong. Angan-angan mat jenin la namanya. Allah sentiasa tolong sesiapa yang ingin menolong dirinya sendiri. Oleh sebab itu, kita kena ada tiga-tiga benda tu.

Saya pernah cakap kepada seorang kawan, "Hidup ni semuanya bergantung pada kata-kata Allah.". Walau sehebat manapun usaha kita, kalau Allah tak izinkan sesuatu benda tu untuk berlaku, tak ada guna. Segala usaha tu jadi tak bermakna. Sama jugak kalau kita berusaha, tapi tak hebat ataupun tak berusaha langsung, tapi Allah izinkan sesuatu benda tu nak berlaku, ha, jadi jugak akhirnya. Itulah namanya, kekuasaan Allah. Dia yang berhak menentukan segala perkara, baik atau buruk. Cantik atau hodoh, perjalanannya. Hebat atau kantoi pengakhirannya. Kata Allah SWT,

"Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu, hanyalah berkata kepadanya "Jadilah!", maka terjadilah ia."

-Surah Yasin, ayat 82-

Hiduplah dengan penuh sifat kehambaan. Berusaha untuk jadi hambaNya yang soleh dan penuh rasa rendah diri. Yakinlah, Allah itu selalu ada dan Dia dekat dengan hamba-hambaNya. Jangan pernah bangga diri apabila Dia menghulurkan secebis kejayaan kepada kita. "Ah, aku hebat. Result cantik ni sebab usaha aku ah.". Ni benda yang banyak berlaku sekarang, subhanallah. Demi Allah, saya sendiri pun takut benda tu. Benda yang dinamakan sebagai riya', 'ujub, takabbur. Senang cakap, tak sedar diri. Tuan yang bagi, sendiri yang rasa hebat. Satu dunia tahu result kita, satu dunia dah tahu kejayaan kita. Untuk apa dihebahkan? Kalau tak sengaja, tak apalah. Tapi kalau disengajakan, diberitahu dan ditayangkan kat semua, masya Allah. Allah SWT itu sangat pemurah, tapi ingat, Allah SWT itu, balasannya tak mengira masa, dan tempat. Sekali ditakdirkan Allah tarik balik nikmat-Nya, mulalah kita manusia, "Ya Allah, kenapa Kau buat aku begini? Kenapa aku tak dapat apa yang aku doa selama ni?".

Apa namanya tu? Tak bersyukur. Jadi ingatlah, dekatkanlah diri kita dengan Allah. Sentiasa jadikan doa itu sebagai penghubung seorang hamba yang ikhlas dengan tuannya, dengan kekasih hatinya yang sentiasa menunggu untuk mendengar luahan hati itu. Oh, satu lagi kemungkinan. Jangan cepat rasa rendah diri apabila Dia menghulurkan sedikit kegagalan dalam hidup kita. "Habislah hidup aku. Aku ni bodoh, tak berguna, tak pandai." Subhanallah, Allah itu paling tidak menyukai hambaNya yang cepat berputus asa. Gagal sekali, tidak bermaksud gagal selamanya. Bangkit kembali, dan berjuang untuk kehidupan yang lebih baik.

Doa itu ada tiga kemungkinan kawan-kawan. Berdoa sekarang, "Ya Allah, hentikanlah hujan yang lebat ini supaya aku dapat pergi ke kelas dengan senang." Tup-tup, dua tiga minit lepas tu, hujan reda. Maha Suci Allah, itu saya namakan kemungkinan pertama. Berdoa sekarang, "Ya Allah, hentikanlah hujan yang lebat ini supaya aku dapat pergi ke kelas dengan senang.". Zung-zang-zung-zang, hujan makin lebat. Tambah pulak dengan petir kilat segala. Itu saya namakan kemungkinan kedua. Berdoa sekarang, ah macam tadi la. Tup tap, tup, seribu hari tak berhenti lagi hujannya. Sampai kelas habis satu semester pun, hujan lebat macam biasa jugak. Itu saya namakan kemungkinan ketiga.

Kemungkinan pertama, itu doa yang Allah makbulkan terus di dunia. Sama ada cepat, ataupun lambat, yang pastinya Allah makbulkan sebagaimana yang kita minta. Jarang-jarang, kadang-kadang orang tak bersyukur dengan benda ni. Kebanyakannya cakap, "Alhamdulillah". 

Yang kedua itu, doa yang Allah makbulkan terus, juga di dunia. Cepat ataupun lambat, tak kisah la, tapi dengan cara sebaliknya. Kita minta 1, Allah bagi 2. Kita minta bunga, Allah bagi duri. "Alhamdulillah" itu jarang-jarang kita dengar. Yang banyaknya orang sebut, "Oh no!", "Apasal jadi macam ni???", "Why Allah, why?". Ingat, jangan pernah kita persoalkan ketentuan Allah itu. Kita tidak berhak mempersoalkan ketentuan-Nya apabila Dia memberikan kita sesuatu yang kita tidak suka, melainkan kita berbuat benda yang sama apabila Dia memberikan kita sesuatu yang kita suka. 

Yang ketiga itu pula, doa yang Allah tak makbulkan di dunia, tapi kita sebagai hamba, wajib percaya yang Allah akan makbulkan doa kita. Allah, akan selalu menjawab doa kita. Bukan di dunia, tapi di akhirat kelak. Yang ni, ramai akan respon "Hmm, bilalah aku akan dapat apa yang aku minta ni...". Yakin dan percaya dengan pertolongan-Nya. Satu lagi, sabar. Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Apa lagi? Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik Pemberi Pertolongan.

T.A.M.A.T

Comments